SOFITEL KUALA LUMPUR (22-23/1/22)
Meneruskan staycation saya di Kuala Lumpur, saya memilih satu hotel yang terletak agak jauh dari pusat bandaraya iaitu di Damansara. Jaraknya dari KLCC ialah kira2 10km dan dari Bukit Bintang pula kira2 13km.
Melalui aplikasi trip.com saya telah memilih bilik Luxury King yang berharga RM233.35 (tanpa sarapan). Saya tiba di hotel kira2 pukul 2.15 petang dan terus ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Tidak ramai pelanggan pada masa itu dan proses check-in sangat cepat hanya beberapa minit sahaja di mana saya hanya perlu menandatangani satu borang. Selepas diberi kad akses, saya terus menaiki lif ke tingkat 13. Lif agak cepat di hotel ini kerana tidak ramai pelanggan pada masa itu.
Memasuki bilik terdapat satu ruang untuk menyimpan pakaian di sebelah kanan. Ruangnya agak besar dan terbuka (bukan tertutup seperti almari). Selain itu terdapat juga seterika dan bathrobe disediakan untuk kegunaan pengunjung serta satu peti untuk menyimpan barang2 berharga seperti hotel2 yang lain.
Selepas ruang tersebut adalah bilik air yang juga terletak di sebelah kanan lorong masuk. Bilik airnya agak besar dan mempunyai pintu gelongsor. Memasuki bilik air pula terdapat sinki di sebelah kiri sementara bathtub pula terletak di sebelah kanan. Saiz bathtub sederhana besar. Selepas itu terdapat dua ruang untuk shower serta tandas yang tertutup. Hotel ini tidak menyediakan bidet di ruang tandasnya.
Memasuki ruang bilik terdapat satu penyangkut blazer di sebelah kiri. Bilik yang saya pilih ini mempunyai keluasan 462 kaki persegi. Biliknya besar menempatkan satu katil king dan juga satu sofa yang sederhana besar. Di kaki katil terdapat satu tempat duduk serta meja study diletakkan di tepi tingkap. Kerusi di meja study sangat cantik dan selesa. Terdapat satu rak di dinding berhampiran katil menempatkan pembancuh kopi serta cerek letrik serta cawan dan gelas. TV LCD berukuran 50 inci dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil. Selain itu terdapat satu meja bulat kecil diletakkan di tepi sofa (mungkin untuk pengunjung makan dan minum).
Hotel ini mempunyai pool yang agak besar serta cantik yang terletak di tingkat 3 hotel. Di tepi pool terdapat cafe serta meja2 untuk pangunjung makan dan minum sambil bersantai di tepi pool. Terdapat juga pool untuk kanak2 di hotel ini. Di tingkat yang sama terdapat juga gimnasium untuk kegunaan pengunjung.
Hotel ini juga menyediakan wifi percuma seperti hotel2 yang lain tetapi tidaklah laju, hanya mempunyai kelajuan 8mbps. Untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 65mbps sementara Celcom sedikit perlahan dengan kelajuan 60mbps. Tekanan air di bilik mandi adalah kuat dan saya sangat puas mandi di showernya. Untuk proses check-out pula, saya hanya ke kaunter untuk memulangkan semula kad akses (pengunjung juga boleh meletakkan kad akses di kotak yang disediakan tanpa perlu ke kaunter).
Secara peribadi saya suka dengan hotel ini. Bukan sahaja biliknya yang besar serta mempunyai bathtub, tetapi harganya tidaklah terlalu mahal seperti hotel 4 atau 5 bintang yang lain. Mungkin lokasinya yang tidak terletak di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur menyebabkan harganya begitu. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini berdekatan dengan stesen MRT Semantan (kira2 1.6 km).
Hotel ini sesuai untuk semua samada solo, berpasangan ataupun yang sudah berkeluarga. Kepada pasangan muslim yang mempunyai anak2 kecil mungkin akan sedikit tidak selesa kerana hotel ini mempamerkan botol2 arak secara terbuka. Di cafe yang terletak berhampiran pool, botol2 arak disusun dengan banyak. Saya mungkin akan pergi lagi ke hotel ini dan memilih bilik jenis yang lain pula.
Seperti biasa saya sertakan gambar2 yang saya ambil semasa menginap di hotel ini. Jika saudara/i ingin melihat hotel2 lain yang pernah saya review, sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds.
Terima kasih kerana sudi membaca
Nota: Ini adalah review kali pertama saya menggunakan gambar2 yang diambil menggunakan Huawei P50 Pro dan ianya tanpa edit. Sebelum ini saya menggunakan Huawei P40 Pro.
Penulis: Burhanuddin Abdul Jalil
Sumber: Group Hotel Review Malaysia