Search
Search
Review Hotel | Double Tree Resort

Review Hotel | Double Tree Resort

DoubleTree Resort by Hilton Penang (17-18/1/22)

Bermalam di hotel ini adalah tidak dirancang oleh kerana pada asalnya penerbangan pulang ke Kuala Lumpur ialah pada 17 Januari. Saya telah membeli tiket pulang pada jam 6.45 petang tetapi ditukar kepada jam 10.50 malam (ini memang biasa dengan Airasia). Oleh kerana agak lewat (sampai di KLIA2 pun dah hampir tengah malam), saya mengambil keputusan untuk terus bermalam di Pulau Pinang. Oleh itu saya membeli tiket ke Kuala Lumpur jam 4.30 petang esoknya berharga RM99 (tiket asal saya hanyalah RM12).

Saya sebenarnya ingin bermalam di Hard Rock Hotel tetapi tarikh ini hotel tersebut telah pun penuh. Jadi saya ke fb saudara Naseer Othman kerana beliau banyak review hotel2 di Pulau Pinang. Akhirnya saya memilih hotel DoubleTree yang terletak di Batu Ferringhi (hotel ini sebenarnya diambilalih dari Hydro Hotel).

Saya tiba agak awal iaitu kira2 pukul 1.30 tengahari. Saya terus ke kaunter untuk proses pendaftaran dan diberitahu bilik telah pun siap. Proses check-in sangat cepat kerana saya telah pun membayar bilik secara atas talian melalui aplikasi trip.com. Setelah diberi kad akses dan biskut percuma (salah satu keunikan Hotel DoubleTree), saya terus ke bilik saya yang terletak di tingkat 3. Saya mengambil bilik jenis deluxe yang mempunyai balkoni berharga RM274.00 (tanpa sarapan).

Biliknya agak besar berkeluasan 322 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat ruang untuk menyangkut pakaian (terbuka) di sebelah kiri sementara bilik airnya pula di sebelah kanan. Selain satu katil king, terdapat satu meja bulat dan satu kerusi berhampiran dengan pintu gelongsor untuk ke balkoni. Di kaki katil pula terdapat satu rak menempatkan satu peti ais mini serta cerek letrik dan bahan2 untuk membancuh kopi. TV pula dilekatkan di dinding mengadap katil dan saiznya tidaklah besar, kira2 40 inci sahaja dan kedudukannya agak ke bawah bagi saya. Terdapat satu kerusi cantik untuk pengunjung berehat sambil menonton TV yang diletakkan di tepi katil. Balkoninya agak besar di mana terdapat 2 kerusi untuk berehat serta satu meja kecil. Bilik yang saya dapat balkoninya mengadap ke arah bukit (hanya sedikit kelihatan laut dari bilik ini).

Bilik airnya pula kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Tekanan air di bilik mandi adalah kuat dan saya sangat berpuas hati. Terdapat 2 jenis shower di bilik airnya (jenis pegang dan juga di siling). Tandasnya juga mempunyai bidet untuk kemudahan pengunjung.

Seperti hotel2 yang lain, hotel ini juga menyediakan wifi percuma tetapi kelajuannya hanyalah 6mbps. Bagi telco pula, kelajuan Tune Talk adalah 125mbps sementara Celcom pula mempunyai kelajuan 65mbps. Siaran TV pula tidak dalam bentuk HD dan hanya menyiarkan siaran asas sahaja berserta beberapa siaran sukan (Astro Supersport).

Hotel ini mempunyai pool yang terletak di bawah. Poolnya agak besar dan mempunyai kawasan yang agak luas. Selain pool dewasa terdapat juga pool untuk kanak2. Terdapat jejantas menghubungkan kawasan pool dengan pantai yang terletak di seberang jalan raya dan ianya perlu diakses menggunaklan kad akses hotel (kad untuk akses ke bilik).

Restoran hotel ini pula terletak di bahagian yang sama (di sebelah pool). Restorannya agak besar dan saya sempat mencuba nasi goreng kampung dan jus tembikai (berharga RM48). Makanannya agak sedap bagi saya. Proses check-out pula sangat cepat di mana saya hanya perlu memulangkan semula kad akses ke kaunter.

Hotel ini agak biasa bagi saya (atau mungkin saya tidak berjumpa apa yang istimewa di sini). Satu yang saya tidak begitu berkenan ialah cahaya di dalam biliknya yang tidak seimbang. Terdapat ruang yang tidak mempunyai lampu iaitu ruang di kaki katil yang agak gelap. Mungkin yang menjadi keistimewaan hotel ini ialah lokasinya yang terletak di tepi pantai. Untuk mendapatkan view cantik, perlu ke tingkat yang lebih tinggi.

Untuk review hotel2 yang lain sila ke website saya di https://hanuds.wixsite.com/hanudds.

Terima kasih kerana sudi membaca 😎

Penulis: Burhanuddin Abdul Jalil
Sumber: Group Hotel Review Malaysia

CutiMana