Anjungan Beach Resort, Pulau Pangkor
Penarafan : 3 bintang
Tarikh Penginapan : 11-12 Mei 2022
Jenis Bilik : Special Deluxe
Platform Tempahan : Aplikasi Agoda
Harga : RM229.98 (termasuk cukai)
Deposit : RM 50
Lari sebentar dari kesibukan kerja. Pulau yang paling dekat dengan Selangor, semestinya Pulau Pangkor. Resort ini adalah resort kegemaran saya setiap kali ke sini.
1) Bilik
Bilik yang bersih dan selesa dengan susun atur yang unik. Katil jenis ‘queen’, tilam yang selesa, bantal yang bersih, dan cadar yang dicuci sempurna.
2) Pencahayaan
Lampu agak malap, tetapi sangat sesuai untuk berehat. Tingkap disekeliling bilik dengan langsir telus cahaya berwarna putih menimbulkan suasana romantik.
3) Balkoni
Balkoni yang luas, dilengkapi dengan meja untuk makan. Ada juga disediakan buaian untuk bersantai. Lantai menggunakan mozek tanah liat berwarna ‘terracotta’ menjadikan kawasan balkoni lebih berseri. Bayangkan cahaya matahari terbenam berlawan dengan warna coklat keperangan itu. Wajib ‘selfie’!
4) Bilik Air
Bilik air bersaiz sederhana. Kawasan untuk mandi dipisahkan dengan dinding kaca dengan kawasan tandas. Ada kemudahan alat pemanas air.
5) Pantri
Terdapat pantri kecil dengan kemudahan asas disediakan seperti cerek, ketuhar gelombang mikro, kopi, teh, gula, krimer dan cawan. Kemudahan lain yang disediakan di bahagian pantri adalah peti sejuk mini, papan menggosok, dan seterika.
6) Kolam Renang
Kolam renang berbentuk kapal dengan kedalaman sekitar 1.2 meter untuk dewasa, dan bahagian cetek untuk kanak-kanak.
7) Sarapan
Sarapan asas disediakan sama ada pra tempah melalui atas talian, atau semasa proses daftar masuk. Tetamu perlu menempah terlebih dahulu menu sarapan utama mendaftar masuk.
8)Lokasi
Resort terletak di Pantai Teluk Nipah, dan terdapat banyak kedai runcit dan restoran di sekitarnya.
**Tuala yang disediakan kelihatan bersih dan dicuci tetapi, agak berbau bagi saya. Saya memang membawa sendiri tuala jadi bukan satu masalah bagi saya
Menyambut tahun ke-10 saya menggunakan aplikasi Agoda dan resort ini adalah antara yang terawal yang saya tempah dahulu
Penulis : M Hafiz Ikhsan